Suntingan & Terjemahan Bahasa
Organisasi anda menghasilkan beratus, jika tidak beribu dokumen setiap tahun. Kebanyakan daripada dokumen-dokumen ini terdiri daripada usaha bersama, dan/atau bahan-bahan yang telah ada dan biasa digunakan oleh kakitangan anda. Dalam situasi ini, adalah mudah untuk terlepas pandang maklumat-maklumat yang terperinci.
Sumber-sumber kepakaran luar dan pekerja bebas boleh dipertimbangkan untuk keperluan suntingan dan semakan anda. Kebanyakan penyunting dan penyemak di Malaysia fasih berbahasa Melayu dan Inggeris serta berpengalaman di dalam kerja-kerja suntingan dan semakan.
Penyunting dan penterjemah menghasilkan Memo, Surat-Surat, Laporan-Laporan, Kenyataan Akhbar, Manual, Dokumentasi, Pembungkusan, Laman Web, Pengiklanan, Laporan Tahunan, Permintaan Kertas Kerja (RFP), Rancangan Perniagaan, Pernyataan Misi, Surat Berita (Buletin), Majalah, Penerbitan, Arahan, Panduan Pengguna, Surat-Menyurat Persendirian, Manual Teknikal dan banyak lagi!
Para penulis dan penyunting menghasilkan pelbagai jenis bahan bertulis yang disampaikan kepada pengguna di dalam kepelbagaian gaya. Mereka membangunkan kandungan yang berkenaan menggunakan kepelbagaian format multimedia untuk para pembaca, pendengar dan penonton. Walaupun kebanyakannya menulis sebagai aktiviti utama, atau pada perbualan dalam talian atau blog, hanya penulis dan penyunting yang berbayar yang termasuk dalam bidang pekerjaan ini.
Penulis terbahagi kepada dua kategori iaitu penulis atau pengarang dan penulis teknikal. Penulis dan pengarang membangunkan bahan penulisan asli untuk buku, majalah, jurnal perniagaan, penerbitan dalam talian, buletin syarikat, penyiaran televisyen dan radio, filem cereka dan pengiklanan. Kerja-kerja mereka diklasifikasikan sama ada fiksyen atau bukan fiksyen dan biasanya dikenal pasti mengikut jenis penulisan sebagai contoh novelis, penulis skrip, penulis biografi, dan penulis buku teks. Sesetengah penulis bebas mungkin diminta oleh seorang penaja untuk menulis skrip manakala penulis bebas lain mungkin diminta untuk menulis buku secara kontrak sama ada untuk menghasilkan draf atau pun garis kasar sesuatu bahan penulisan. Penulis seperti penulis lirik dan penulis skrip pula boleh menghasilkan bahan-bahan untuk penerbitan atau persembahan.
Penulis bekerja bersama penyunting dan penerbit selama berlangsungnya proses penulisan tersebut untuk menyemak suntingan, topik dan jadual-jadual pengeluaran. Penyunting dan penerbit boleh memberikan tugasan-tugasan topik tertentu kepada penulis (kakitangan) atau menyemak tugasan atau kertas kerja daripada penulis bebas. Semua penulis akan menjalankan kajian terhadap topik mereka, yang mana dikumpul melalui pemerhatian individu, perpustakaan mahupun daripada carian internet serta temubual. Penulis terutamanya yang bukan fiksyen, membina kredibiliti mereka dengan penyunting dan pembaca melalui kajian yang menyeluruh, teliti dan penggunaan sumber dan petikan yang sesuai. Penulis dan pengarang kemudiannya memilih bahan-bahan yang perlu digunakan, mengatur bahan-bahan tersebut, dan menggunakan penulisan untuk menekankan jalan cerita, idea-idea atau untuk menyampaikan maklumat. Dengan bantuan daripada penyunting, mereka akan menyemak dan menulis semula bahagian-bahagian tertentu, untuk mendapatkan susunan kata atau frasa yang terbaik.
Penulis iklan merupakan jenis penulis yang khusus. Mereka menyediakan salinan pengiklanan untuk digunakan di dalam penerbitan ataupun penyiaran dan mereka menulis bahan-bahan lain untuk mempromosikan jualan sesuatu produk mahupun perkhidmatan. Mereka biasanya bekerja bersama pelanggan untuk menghasilkan tema atau slogan pengiklanan dan mungkin juga terlibat di dalam aktiviti pemasaran sesuatu produk atau perkhidmatan yang berkenaan. Yuran atau bayaran mereka boleh mencapai ratusan ringgit hingga ribuan ringgit hanya untuk beberapa perenggan hasil kerja mereka.
Penulis teknikal pula merupakan penulis yang menulis maklumat teknikal dengan bahasa yang mudah difahami. Mereka menyediakan dokumentasi produk, seperti manual penyelenggaraan dan operasi, katalog, arahan pemasangan, dan kertas cadangan projek. Penulis teknikal biasanya terlibat dalam industri teknologi maklumat terutamanya di dalam penulisan arahan-arahan pengoperasian yang digunakan untuk Bantuan dalam talian dan dokumentasi untuk program-program komputer. Kebanyakan penulis teknikal bekerja bersama-sama para jurutera di dalam hal-hal teknikal untuk menyediakan pentafsiran kejuruteraan dan merekabentuk spesifikasi dan maklumat lain untuk bacaan umum. Selain itu, penulis teknikal boleh juga menjadi sebahagian daripada kakitangan yang mengendalikan kajian penggunaan untuk membantu meningkatkan reka bentuk sesuatu produk yang masih dalam peringkat prototaip. Mereka merancang dan menyunting bahan-bahan teknikal dan memantau penyediaan ilustrasi, gambar-gambar, diagram serta carta-carta.
Kebanyakan penulis dan penyunting sekurang-kurangnya mempunyai asas pengetahuan mengenai teknologi, yang mana sudah menjadi kebiasaan bagi mereka menggunapakai komputer peribadi, sistem penerbitan meja atau elektronik, pengimbas dan peralatan komunikasi elektronik lain. Ramai penulis menyediakan bahan secara langsung untuk paparan di Internet. Sebagai contoh, mereka boleh menulis untuk akhbar atau majalah edisi elektronik, mencipta cerpen fiksyen atau puisi, atau menghasilkan dokumentasi teknikal yang hanya disediakan secara dalam talian. Penulis-penulis ini juga mungkin menyediakan teks-teks untuk kegunaan laman-laman web. Hasilnya, mereka perlu juga berpengetahuan tentang reka bentuk grafik, susunatur laman dan juga perisian-perisian multimedia. Sebagai tambahan, mereka harus juga membiasakan diri dengan teknologi interaktif sesuatu laman web agar mereka boleh menggabungkan teks, grafik serta bunyi. Penulis blog yang dibayar untuk menulis boleh juga dikategorikan sebagai seorang penulis.
Kebanyakan penulis biasanya di anggap sebagai penulis bebas. Mereka bekerja sendiri dan menjual hasil mereka kepada penerbit, syarikat-syarikat penerbitan, firma-firma pengeluaran, jabatan-jabatan perhubungan awak atau agensi-agensi pengiklanan. Kadangkala, mereka ini mendapat kontrak daripada para penerbit terlebih dahulu sebelum menulis sesuatu buku mahupun rencana. Selain itu, penulis bebas mungkin diupah untuk melengkapkan tugasan jangka pendek yang khusus mahupun yang berulang, seperti menulis promosi produk baru atau menyumbang kepada buletin suku tahunan sesuatu organisasi.
Adalah disarankan kepada pengendali lain di dalam kategori ini, terutamanya kepada pengendali kecil-kecilan dan pengendali bebas untuk membuat penyenaraian dengan direktori nasional yang lebih komprehensif.
Penterjemah bahasa menukar bahan-bahan bertulis dari satu bahasa ke satu bahasa yang lain. Mereka mempunyai kemahiran penulisan dan menganalisa yang baik. Oleh sebab dokumen-dokumen yang perlu mereka terjemah haruslah sempurna, maka mereka perlu mempunyai kemahiran menyunting yang baik.
Tugasan-tugasan boleh berubah dari segi panjang, gaya penulisan dan juga subjek penulisan. Apabila penterjemah bahasa menerima teks yang perlu diterjemah ke dalam sesuatu bahasa lain, mereka biasanya membaca keseluruhan teks terlebih dahulu untuk memahami isi kandungan subjek yang berkenaan. Seterusnya, mereka mengenalpasti dan mencari perkatan-perkataan yang jarang ditemui oleh mereka. Bacaan yang berulang biasanya diperlukan sebelum penterjemah bahasa mula menulis sesuatu terjemahan. Hal ini memakan masa kerana hanya yang terbaik dapat melakukan sesuatu terjemahan dalam masa yang singkat dan mereka biasanya mendapat bayaran yang tinggi untuk perkhidmatan mereka. Penterjemah bahasa juga mungkin akan melakukan kajian terhadap subjek yang berkenaan sekiranya mereka tidak jelas dengan maksud atau perkataan yang terkandung di dalam teks tersebut. Mereka juga akan merujuk dengan agensi atau individu yang mengupah mereka untuk mendapatkan penjelasan ke atas sebarang idea, perkataan atau akronim yang tidak jelas. Kebanyakan penterjemah selalu menghadapi masalah apabila pelanggan yang melantik mereka sebagai perunding, melihat kerja penterjemahan sebagai satu kerja yang mudah tanpa memikirkan tentang kepakaran dan kebijaksanaan yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu terjemahan. Persepsi ini menyebabkan penterjemah dan penyunting mengalami kegusaran untuk menerima tugasan-tugasan penterjemahan dari mana-mana pelanggan.
Menterjemah tidak hanya melibatkan penggantian perkataan yang sama makna di dalam bahasa lain; ayat, pemahaman serta idea yang terkandung harus dimanipulasi dengan aliran yang sama seperti di dalam dokumen asal agar hasil terjemahan dilihat seperti hasil penulisan yang telah dirancang dan ditulis dalam bahasa yang diterjemahkan tersebut. Para penterjemah bahasa juga harus mengambilkira rujukan-rujukan kebudayaan yang mana harus diterangkan dengan panjang lebar kepada sasaran penerima atau pembaca seperti perkataan-perkataan yang digunakan dalam bahasa pasar, slanga dan ungkapan-ungkapan lain yang tidak boleh diterjemahkan secara langsung. Sesetengah subjek mungkin lebih sukar diterjemah kerana sesuatu perkataan tersebut mempunyai beberapa makna atau fahaman yang berbeza yang turut membawa maksud yang berlainan. Maka, adalah tidak mustahil hasil terjemahan biasanya disemak berulang kali sebelum hasil akhir diserahkan kepada pelanggan atau mereka yang berkenaan.
Cara para penterjemah bahasa menjalankan tugasan mereka turut berubah seiring dengan perkembangan teknologi. Kini, hampir kesemua kerja-kerja penterjemahan dilakukan menggunakan komputer, dan kebanyakan tugasan yang diterima diserahkan secara elektronik. Ini membolehkan para penterjemah bahasa bekerja di mana-mana sahaja, dan kebanyakan daripada mereka bekerja dari rumah. Rangkaian Internet menyediakan keupayaan carian terperinci dan sumber-sumber bahasa yang bernilai seperti kamus-kamus khusus dan glosari-glosari. Dalam sesetengah perkara, penggunaan bantuan terjemahan termasuk alat memori yang menyediakan perbandingan terjemahan terdahulu dengan terjemahan semasa membantu dari segi penjimatan masa dan mengurangkan pengulangan.
Perkhidmatan jurubahasa dan penterjemah bahasa diperlukan di dalam pelbagai bidang. Walaupun, pekerja-pekerja ini mungkin tidak mahir sepenuhnya dalam sesuatu jenis bidang atau industri, kebanyakan daripada mereka adalah pakar dalam bidang-bidang tertentu. Sesetengah daripada bidang-bidang yang umum diterangkan di bawah; walau bagaimanapun, jurubahasa dan penterjemah bahasa mungkin bertugas dalam berbagai-bagai bidang lain, termasuk perniagaan, perkhidmatan sosial atau hiburan.